KASIHKU ZAKAT SELANGOR: 16 KELUARGA ASNAF LZS DAPAT MANFAAT ZAKAT

0
388

 

KUALA KUBU BHARU, 22 Februari 2018 – Seramai 16 keluarga asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor (LZS) bakal mendapat manfaat daripada agihan wang zakat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM290,635.94, yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula zakat PKNS yang akan disalurkan bagi membiayai baik pulih rumah keluarga asnaf di daerah Hulu Selangor. Setiap keluarga akan menerima bantuan pembiayaan di antara RM16,000 hingga RM23,000, bergantung kepada kos baik pulih rumah tersebut.

Bantuan baik pulih rumah ini adalah antara bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Untuk makluman, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

 

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat lagi, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Noraida Mohd Yusof dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.