KASIHKU ZAKAT SELANGOR: ASNAF LZS DAPAT MANFAAT RM1.3 JUTA ZAKAT PUNCAK NIAGA

0
527

SHAH ALAM, 28 Februari 2018 – Asnaf yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima manfaat daripada wang zakat Puncak Niaga Holdings Berhad berjumlah RM1,300,000.00 yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini.

Sumbangan tersebut adalah sebahagian agihan semula zakat Puncak Niaga Holding Berhad yang disalurkan bagi membiayai pembinaan rumah 10 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Selangor. Bantuan pembinaan rumah ini adalah antara bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Di samping itu, sebanyak RM500,000.00 wang zakat tersebut juga disalurkan bagi membiayai kos rawatan seramai 21 pesakit dialisis LZS daerah Kuala Selangor, seterusnya meringankan beban pesakit khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

DSC_5617

Sementara RM300,000.00 lagi akan dimanfaatkan sebagai wang saku tambahan bagi 1,000 pelajar asnaf di institut pengajian tinggi.

Bagi Mohd Nor bin Ijol, 63 memanjatkan rasa syukur ke atas Allah S.W.T atas pemberian bantuan ini.

“ Perasaan gembira dan bersukur kepada Allah S.W.T kerana selama ini saya menumpang tinggal bersama-sama anak saya. Kini saya mampu untuk memiliki rumah sendiri selain saya juga turut menerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan makanan seperti beras, minyak masak dan lain-lain”, katanya.

Manakala bagi Asmah binti Said, 65 yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor melafazkan rasa syukur atas bantuan rumah ini.

“Saya suka dan senang hati dapat bantuan rumah ini, tambahan pula selama ini menumpang rumah orang hampir 17 tahun. Saya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat di Selangor yang menyumbang zakat dapat meringankan beban saya untuk memiliki rumah ini”, katanya ketika ditemubual.

DSC_5646

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Sehingga tahun 2017 sebanyak 32 syarikat korporat dan individu telah menyertai ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan jumlah sumbangan agihan sebanyak RM17.8 juta.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan Puncak Niaga Holdings Berhad, Dato’ Nasir Khan Ildan Khan, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin dan Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.