KAUNTER ZAKAT KUALA SELANGOR DIBUKA SECARA RASMI

0
3814

Kuala Selangor — Kaunter Zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bagi daerah Kuala Selangor telah dibuka secara rasminya di lokasi baru pada 20 Julai lalu di No. 4 Jalan Melati 3/19, Bandar Melawati bersebelahan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kaunter zakat itu pada asalnya terletak di pejabat Agama Islam Kuala Selangor. Walaubagaimanapun, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dalam melaksanakan operasi kutipan dan agihan zakat kaunter zakat ini dipindahkan lokasi baru yang lebih strategik iaitu berhampiran dengan stesen bas Kuala Selangor.

Kaunter baru ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tempat menunggu, tiga kemudahan kaunter bayaran dan agihan zakat dan suasana yang lebih selesa.

Waktu perkhidmatan bagi kaunter ini masih sama dengan kaunter zakat yang lain iaitu 8.30 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari Sabtu dan Ahad ditutup.

Majlis perasmian pembukaan kaunter ini telah dilaksanakan oleh Tuan Mohammad Yacob, Pegawai Daerah /Tanah Kuala Selangor. Turut hadir di majlis itu Tn. Hj Ahmad Shir Makhtar, Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahli Pengurusan LZS (MAIS) dan Tuan Hj. Haslin Baharim, Imam Masjid Jamek Sultan Ibrahim.