KELUARGA MENUMPANG DAPAT PEMBELAAN

0
246

Hulu Langat – Penderitaan Khairulisyam Ishak, 33 sekeluarga yang mendiami pondok kecil beratap zink berdinding buluh akhirnya terbela apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS tampil membantu mereka.

Menurut Pegawai Agihan Zakat LZS (MAIS), Mohd. Salahuddin Azmi, keluarga ini mula dibantu oleh LZS (MAIS) pada penghujung 2004 dalam bentuk sumbangan Hari Raya dan juga bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka berusia lapan dan enam tahun.

Namun, setelah mengetahui bahawa mereka hanya mendiami sebuah pondok kecil tanpa bekalan elektrik dan air serta menumpang pula di tanah orang di Sungai. Lui, maka LZS (MAIS) telah mengambil inisiatif memindahkan mereka ke Rumah Transit LZS (MAIS) di Kajang.

Menurut Salahuddin lagi, Khairul yang mengidap penyakit sendi dan tidak mampu bekerja dan hanya mengambil upah memotong kayu serta mencari ulam-ulaman di hutan. Manakala isterinya, Rasyidah Ismail, 25 hanya seorang pencuci pakaian di sebuah syarikat swasta. Pendapatan purata mereka hanyalah sekitar RM500 sebulan.

Di samping LZS (MAIS), pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu menyalurkan bantuan wang bulanan sebanyak RM235. Malah menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat LZS MAIS, Akhtar Sahari, LZS (MAIS) sendiri akan berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada Khairul di samping membuat penilaian menyeluruh bagi memberikan bantuan daripada aspek-aspek lain yang diperlukan.

Beliau yang ditemui semasa pemindahan merasa amat bersyukur dan terharu kerana masih ada pihak yang mengambil berat tentang keluarganya.

“Saya tidak menyangka masih ada yang mengambil berat penderitaan kami. Saya berazam akan berusaha untuk menjadi lebih baik selepas ini. Terima kasih kepada LZS (MAIS) dan JKM yang telah banyak membantu saya sekeluarga,” ujarnya sebak.

Diharapkan dengan perpindahan ini akan membuka peluang kepada mereka sekeluarga khususnya anak-anak yang baru menginjakkan kaki ke alam persekolahan menikmati kehidupan dengan lebih baik.