SHAH ALAM, 27 November 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen Kongsi Rezeki dengan Zakat, bermula hari ini hingga 31 Disember sebagai galakan dan seruan kepada umat Islam terutamanya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir tahun 2023.
Kempen membawa tema ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat yang layak menunaikan kewajipan zakat, bersama-sama LZS membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Menerusi kempen ini, masyarakat Islam dapat berkongsi rezeki zakat dengan golongan asnaf di Selangor agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam cabaran ekonomi pada masa ini, seterusnya membangunkan diri serta keluarga. Sehingga kini, LZS menyantuni lebih 68,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam satu majlis yang diadakan di sini.
Serentak dengan pelancaran ini, LZS mengajak masyarakat untuk menyertai kempen-kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan menawarkan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat.
Kempen inisiatif tersebut termasuklah:
- Kempen Zakat Online On X On khusus kepada pengeluar zakat yang membuat bayaran zakat menerusi ezakatpay di fpx.zakatselangor.com.my.
- Kempen Auto Kan Senang terbuka kepada individu, peniaga dan syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan menerusi platform Direct Debit.
- Kempen Auto Debit khusus kepada pendeposit dan pelabur di Maybank Islamic Berhad.
- Kempen Kongsi Rezeki Video Challenge terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk berkongsi kreativiti membuat video pendek bagi mengajak orang awam menunaikan tanggungjawab berzakat di LZS.
- Kempen Early Bird di 18 cawangan LZS bermula pada 1 hingga 7 Disember khusus kepada 10 pengeluar zakat terawal yang mengunjungi cawangan LZS setiap hari.
Selain itu, bagi memudahkan urusan umat Islam di Selangor menunaikan kewajipan berzakat, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat. Ini termasuklah dengan waktu operasi 7 hari seminggu di semua cawangan LZS sepanjang Disember ini, saluran pembayaran zakat dalam talian seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.
Maklumat lanjut berkenaan kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS.
Dalam majlis sama, tiga syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM252,971.59. PWN Exvellence Sdn. Bhd. mengeluarkan zakat berjumlah RM136,572.34, diikuti Agrobank Berhad sebanyak RM106,323.27 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM10,075.98.
Sementara itu, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM17,660,556.00. Mereka yang menerima bantuan tersebut ialah Adanan Duamin yang menerima bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah RM126,000.00, diikuti Ahmad Johar Yusuf dan Usman Yusuf masing-masing menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM43,000.00 dan RM30,596.00. Manakala Ameesha Marliha Musa menerima bantuan perubatan bagi menjalani pembedahan bernilai RM35,900.00.
Turut diserahkan penyerahan Dermasiswa Huffaz Fakir, Miskin dan Fisabilillah berjumlah RM15,025,000.00 dan bantuan one-off wang saku Institusi Pengajian Tinggi sebanyak RM2,400,000.00.
Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan, Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.