SHAH ALAM, 1 Disember 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen My2.5 sepanjang Disember ini bagi memenuhi keperluan agihan zakat di negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam siaran facebook Zakat Selangor berkata, “Kempen yang membawa tagline ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat yang layak untuk menunaikan kewajipan zakat dan bersama-sama membantu golongan asnaf yang memerlukan di negeri ini.”
Menurutnya lagi, sehingga kini hampir 70,000 ribu keluarga direkodkan di Selangor dan telah disantuni oleh LZS. Susulan pandemik COVID-19, jumlah keluarga ini dijangka akan terus meningkat sehingga hujung tahun dan ia secara tidak langsung menyebabkan keperluan agihan zakat di Selangor turut meningkat.
Justeru itu, kempen My2.5 dilaksanakan bagi memudahkan masyarakat untuk memahami dan menyedari kewajipan ibadat zakat serta turut sama membantu kelangsungan hidup golongan yang amat memerlukan pada ketika ini.
Dalam pada itu, menerusi kempen berkenaan pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik.
Maklumat terkini berkenaan kempen My2.5 akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal www.zakatselangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.