SHAH ALAM, 17 September 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program ZIKRA: Jalinan Kasih Bersama Asnaf 2015 dengan membawa pengeluar zakat terdiri daripada syarikat-syarikat korporat bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor.
Program ini bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor. Selain itu, ia mampu mendekatkan pengeluar zakat dengan asnaf, selain menyelami realiti kehidupan mereka.
Kali ini, para peserta terdiri daripada Encorp Berhad, Highbase Strategic Sdn Bhd, Western Digital (M) Sdn Bhd, MAA Takaful. Turut menyertai program ini adalah pengendali laman sosial Shah Alam Residents dan ahli-ahli Kelab Blogger Ben Ashaari.
Dalam program tersebut, para peserta dibawa ke sekitar Klang dan Petaling bagi menziarahi dan melihat aktiviti asnaf LZS yang telah menerima bantuan zakat.
Pengurus Sektor Pengurusan Perhubungan Zakat LZS merangkap pengarah program, Shamshuri Ashaari berkata, program ini memberi fokus untuk menjadikan wakil-wakil korporat yang hadir sebagai medium berkesan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan berzakat.
“Kita mahu memasyarakatkan LZS supaya orang ramai tahu dan dapat melihat bagaimana wang kutipan zakat itu digunakan untuk membantu lapan golongan asnaf yang telah disyariatkan Islam.
Program bermula dengan kunjungan ke Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor (Bait Al Mawaddah) yang dibangunkan hasil daripada manfaat zakat. Di sini para peserta diberi taklimat ringkas berkenaan usaha LZS menyantuni warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor.
Kemudian para peserta dibawa ke Kompleks Asrama Anak-Anak Asnaf dikenali sebagai Baitul Hasanah yang terletak di Klang. Asrama ini dibina bagi menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam kondisi yang lebih baik di samping mengelakkan keciciran dalam pelajaran.
Para peserta seterusnya dibawa ke Restoran Briyani milik salah seorang penerima bantuan modal LZS, Sakinah Gulam Hussin. Beliau yang menjadi asnaf LZS sejak tahun 2013 merupakan salah satu asnaf yang berpotensi keluar dari kategori penerima zakat.
Turut sama mengikuti program ZIKRA ini, Orang Besar Daerah Petaling merangkap Ahli Jawatankuasa Agihan Zakat, Dato’ Emran Kadir.