LZS ANJUR KONVENSYEN AMIL ZAKAT NEGERI SELANGOR 2014

0
258

KLANG, 2 Disember 2014 – Buat julung kalinya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Konvensyen Amil Zakat Negeri Selangor 2014 bertemakan Transformasi Pengurusan Institusi Zakat & Amil bertempat di Hotel Premiere di sini hari ini, yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Ia dihadiri para peserta dalam kalangan penolong amil padi dan fitrah serta penolong amil kariah. Mereka ini merupakan para penolong amil yang dilantik LZS bagi membantu menjalankan dakwah untuk mengajak masyarakat mengeluarkan zakat, di samping membantu menyalurkan maklumat dan bancian asnaf fakir dan miskin di kariah masing-masing.

Konvensyen selama dua hari ini antara lain bertujuan memperkasakan peranan ketua masyarakat dan institusi zakat sebagai ejen kepada kecemerlangan pembangunan masyarakat Islam. Selain itu, ia merupakan platfrom bagi memperteguhkan rasa kebersamaan antara LZS dengan para penolong amil yang telah banyak membantu pengurusan zakat di Negeri Selangor. Dalam masa yang sama, para penolong amil turut didedahkan dengan peranan LZS sebagai institusi zakat yang menjaga kebajikan sosioekonomi ummah.

Sebanyak lima kertas kerja akan dibentangkan kali ini, antaranya ialah Anjakan Paradigma Pengurusan Zakat: Potensi dan Cabaran yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Memperkasakan Pengurusan Agihan Zakat: Pengalaman LZS oleh Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Abdul Basith Hamid.

Pada sebelah malam, turut diadakan majlis penyampaian insentif umrah kepada para penolong amil yang berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka, selain menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu menyebarkan dakwah zakat dan meminimumkan keciciran asnaf fakir dan miskin di kariah masing-masing.

Hadir sama dalam konvensyen ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

1417664572LZS_2406 LZS_2385