SHAH ALAM, 6 Disember 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini merasmikan Pameran 30 Tahun Jubli Mutiara bagi meraikan tiga dekad perjalanan LZS dalam memperkukuh institusi zakat dan memperkasakan komuniti di negeri Selangor, bertempat di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Raja Tan Sri
Arshad Raja Tun Uda.
Menggunakan konsep bahtera sebagai simbol perjalanan LZS, ia menggambarkan sebuah
kapal yang kuat dan teguh belayar membawa harapan dan bantuan kepada mereka yang
memerlukan. Bahtera ini menjadi lambang dedikasi LZS menghadapi segala cabaran dan terus berusaha menyantuni golongan asnaf serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pengeluar zakat.
Membawa tema ‘Jalinan Harapan, Membangun Kehidupan’ pameran yang berlangsung
sepanjang Disember dari jam 10 pagi hingga 6 petang, menjadi platform untuk
mengetengahkan perjalanan 30 tahun LZS dalam menyantuni masyarakat, khususnya
golongan asnaf. Selain itu, ia turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat sebagai pemangkin pembangunan ummah.
Pameran ini bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi juga mencerminkan komitmen
berterusan LZS untuk memacu pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan sepanjang tempoh penubuhannya.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung pada semua peringkat umur. Antaranya termasuklah reruai bagi informasi berkaitan perkhidmatan LZS, kuiz interaktif, pertandingan mewarna, program Start With Sepuluh, selain sesi bercerita yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat.
Ia mendapat kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan LZS. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.zakatselangor.com.my atau mengikuti laman media sosial rasmi LZS.
Hadir sama dalam majlis perasmian ini, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Emeritus Prof. Dr. Muhamad Awang, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Badariah Abdul Jalil dan Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.