LZS ANJURKAN MUZAKARAH ZAKAT NUSANTARA 2023

0
585

SHAH ALAM, 20 Jun 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kalinya berjaya menganjurkan program Muzakarah Zakat Nusantara 2023 melibatkan lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei di sini hari ini

Mengangkat tema Ke Arah Pemerkasaan Fatwa dan Dakwah Zakat Abad Ke-21, muzakarah kali ini menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor khususnya yang bersangkutan dengan pengurusan zakat, sarjana Islam, ahli akademik terutama pakar dalam bidang zakat, para teknorat dan korporat termasuk orang perseorangan. Program perasmian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah.

Muzakarah kali diadakan bagi menelusuri pelbagai kajian mengenai kepelbagaian fatwa ke atas zakat dan juga pendekatan dakwah yang mampu diaplikasikan di zaman moden ini. Seiring itu, pelbagai kertas kerja dibentangkan bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan fatwa-fatwa zakat, pendekatan dakwah zakat yang lebih realistik, di samping membincangkan isu-isu agenda perubahan dalam pemahaman zakat yang lebih baik bagi mendepani keperluan masa hadapan ummah yang semakin kompleks.

Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari muzakarah berlangsung bermula hari ini. Antara pembentang kertas kerja termasuklah Rektor Universiti Islam Selangor (UIS), Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kepentingan Fatwa Dalam Zakat dan Dakwah Zakat’, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Brunei Darussalam, Dato’ Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan Haji Yusof membentangkan kertas kerja ‘Hukum dan Fatwa Kutipan dan Agihan Zakat: Pengalaman Brunei’ dan Pengerusi Lembaga Pengarah, USIM, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Albakri yang berkongsi pembentangan bertajuk ‘Pendekatan Fatwa dan Dakwah Zakat Kontemperori’.

Turut hadir dalam program ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.