SUNGAI BULOH, 21 Februari 2019 – Musibah menimpa adik Azalea Hani Abdul Rahim, mangsa melecur seluruh badan akibat terkena sambal popiah yang mendidih telah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS akan menyalurkan bantuan zakat bagi membiayai kos rawatan termasuk pembedahan dan pemulihan adik Azalea. Bantuan pertama sebanyak RM20,000 bagi pembedahan membuang kulit mati yang dijangka akan dilaksanakan pada Jumaat ini, akan dibiayai melalui Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor.
Untuk makluman, Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor merupakan inisiatif LZS dengan kerjasama 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Objektif utama, adalah bagi meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, di samping memudahkan urusan permohonan bantuan pesakit.
Dalam satu pertemuan yang diadakan, LZS turut menyerahkan bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500 kepada ibunya, Zalida Syuhana Ahmad Tamam bagi meringankan beban beliau berulang-alik ke hospital.
Pihak LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.