LZS BANTU KELUARGA MANGSA RENJATAN

0
416

KUALA LANGAT, 14 April 2015 – Nasib keluarga Azira Hasin, 37 tahun yang kehilangan suami Mohd Amir Jiran, 45 tahun dan anaknya yang berusia tiga bulan akibat renjatan elektrik baru-baru ini, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut Pengurus Daerah Kuala Langat, Mohd Shukri Hushin yang menziarahi keluarga ini, “Allahyarham merupakan asnaf miskin yang berdaftar di LZS. Memandangkan keluarga ini telah kehilangan ketua keluarga, LZS akan terus membantu Azira dan anak-anak selagi mereka layak.”

Untuk permulaan, LZS akan menyalurkan bantuan kewangan dan makanan bulanan buat keluarga ini. Selain itu, bantuan lain juga akan disalurkan bergantung kepada keperluan mereka. Dalam pertemuan tersebut, LZS turut menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada Azira.