SHAH ALAM, 27 Oktober 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Sinar Harian bertajuk ‘Hilang Tempat Bergantung’.
Untuk makluman, keluarga Maniseh Abu Bakar, 43 tahun merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan LZS di daerah Gombak. Keluarga ini telah disantuni oleh LZS melalui bantuan pendidikan dan bantuan Hari Raya yang disalurkan atas nama arwah suami Mohd Aris Andak.
LZS amat prihatin dengan ujian menimpa keluarga Maniseh yang kehilangan ketua keluarga. Buat permulaan bantuan zakat sebanyak RM3,000 disalurkan bagi meringankan beban keluarga ini.
Manakala bantuan kewangan bulanan akan disalurkan kepada keluarga bermula tahun depan. Sementara bantuan lain akan disalurkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan keluarga dan syarat kelayakan.
LZS berharap dengan bantuan zakat yang akan disalurkan ini dapat membantu meringankan bebanan Maniseh sekeluarga.