LZS BANTU KELUARGA YANG TINGGAL DI WAKAF HOSPITAL

0
234

SHAH ALAM, 15 Julai 2014 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Metro Ahad bertajuk ‘Azab Bersuamikan Lelaki Halimunan’ pada 13 Julai 2014.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Rafedah Mohd Yusoff dan anak-anaknya dibawa oleh suaminya yang menghidapi ‘gangguan jiwa’ tinggal di sebuah wakaf bersebelahan surau Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, lantaran tidak mempunyai tempat tinggal.

Untuk makluman, keluarga ini merupakan asnaf fakir LZS di daerah Klang. Keluarga tersebut telah menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 dan makanan bulanan, selain bantuan persekolahan bagi anak-anak. Terkini, bantuan yang diterima oleh keluarga ini adalah bantuan Hari Raya sebanyak RM800. Selain itu, sebelum ini mereka turut mendapat bantuan sewa rumah dari LZS bermula dari Januari hingga Disember 2013.

Bagaimanapun, pada awal 2014 keluarga ini telah keluar dari rumah yang disewa tanpa makluman dan hidup bergelandangan di Masjid Ar-Rahimiah Lipat Kajang, Klang. Keadaan keluarga ini telahpun dimaklumkan kepada LZS dan tindakan diambil dengan memindahkan keluarga tersebut ke rumah saudara mereka pada bulan April lepas.

Namun, keluarga ini sekali lagi keluar dari rumah saudaranya tanpa memaklumkan tujuan hinggalah mereka dikesan berada di wakaf berkenaan setelah mendapat maklumat daripada pihak hospital. Dalam masa yang sama juga, Rafedah telahpun melahirkan anaknya yang kelima di hospital tersebut.

Susulan daripada itu, LZS telah menziarahi keluarga ini dan tindakan segera diambil dengan mencarikan rumah sewa untuk keluarga berkenaan. Di samping itu juga, LZS turut menyalurkan bantuan kecemasan bagi menjelaskan kos rawatan Rafedah yang bersalin baru-baru ini.

Keluarga ini akan terus dipantau oleh LZS dari semasa ke semasa dan bantuan zakat akan disalurkan mengikut keperluan mereka.