LZS BANTU MANGSA RENJATAN ELEKTRIK

0
274

Klang, 27 Januari 2011 – Mangsa renjatan elektrik, Muhammad Hairuman Miskon, 23 hari ini menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM1,000 dan surat jaminan bantuan bulanan berjumlah RM600 bagi tempoh setahun.

Bantuan disampaikan oleh Ketua Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor, Akhtar Sahari kepada kakak Muhammad Hairuman, Maryuni Miskon di HTAR di sini.

Menurut Akhtar, bantuan yang disampaikan adalah amanah daripada pembayar zakat. Oleh itu, beliau amat berharap bantuan ini akan digunakan sebaiknya bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh Hairuman.

“LZS akan mempertimbangkan untuk menyambung bantuan kepada Hairuman selepas tempoh setahun mengikut kepada keperluan beliau,” katanya.

Maryuni yang mewakili adiknya, melahirkan rasa terharu dengan bantuan yang diterima dan mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat di atas bantuan yang diberikan.

“Alhamdulilah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang adik dan keluarga saya hadapi. Terima kasih kepada pembayar zakat dan LZS di atas bantuan ini,” ujarnya sebak.

Muhammad Hairuman melecur hampir 70 peratus di seluruh badannya selepas terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengait kelapa sawit bersama rakannya di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Kuala Selangor. Kedua belah tangannya juga telah dipotong dan berkemungkinan kaki kirinya turut akan dipotong.