LZS BERSAMA PENGELUAR ZAKAT TURUN PADANG JEJAK ASNAF

0
366

AMPANG, 24 Julai 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini bersama dengan pengeluar zakat terdiri daripada wakil syarikat korporat di Selangor turun padang menjejaki individu atau keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat melalui program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.

Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Operasi SJK ini turut disertai oleh wakil dari syarikat pengeluar zakat bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman secara langsung berkaitan gerak kerja pengagihan zakat di Selangor terutama dalam mengenal pasti asnaf fakir serta miskin. Antara syarikat yang turut sama menyertai program ini termasuklah SIRIM Berhad, SIRIM QAS International Sdn Bhd, SIRIM QAS Sdn Bhd, Malaysia Airport Holding Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Spymphony Life Berhad dan Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd.

Untuk makluman, sehingga Jun 2019 seramai 59,628 keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di Selangor telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 6,193 adalah keluarga asnaf di daerah Gombak.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.