BANGSAR, 20 November 2013 – Dalam usaha menyebar luas dakwah dan informasi zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melakukan kunjungan ukhuwwah dan dakwah ke Berita Harian (BH).
Tim LZS diketuai Eksekutif Komunikasi Korporat, LZS Hamizul Abdul Hamid dan turut bersama Ima Syuhada Ismail dan Nasri Che On. Sementara di pihak BH, Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said dan Editor Rencana, Wan Hazmir Bakar telah menerima kunjungan berkenaan.
Antara lain, LZS mengemukakan idea untuk memanfaatkan ruangan di akhbar berkenaan bagi memastikan dakwah mengenai zakat dapat disebarluaskan semaksimumnya kepada pembaca. Sikap proaktif LZS berhasil apabila pihak BH bersetuju menyediakan ruang kepada LZS untuk lebih mempromosikan zakat kepada masyarakat.
Buat masa ini, LZS berjaya memanfaatkan beberapa akhbar perdana sebagai sahabat media untuk memastikan maklumat berkaitan zakat dapat disampaikan secara berkala kepada umat Islam. Kerjasama seperti ini diharap mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap zakat sekaligus meningkatkan kutipan dan keberkesanan agihan kepada yang memerlukan.