LZS DEKATI PETANI DALAM USAHA GALAK TUNAI ZAKAT PADI

0
264

SABAK BERNAM, 6 Jun 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan program Mesra Tani sekali gus melancarkan kempen ‘Padi Dituai Zakat Ditunai’ bermatlamat menggalakkan para petani di daerah ini supaya membayar zakat ke atas hasil tanaman padi mereka.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof  sambil disaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS), Mohamad Idrus Ab. Hamid serta Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.

Menurut statistik, pada tahun 2011 terdapat 4,700 orang petani yang berdaftar dengan JPNS, namun hanya 2,818 orang petani sahaja yang menunaikan zakat padi dengan kutipan sebanyak RM2.1 juta.

Sehubungan itu, melalui kempen yang dijalankan sepanjang Jun hingga Disember ini, dapat memberikan maklumat secara terperinci kepada para petani mengenai kewajipan membayar zakat, seterusnya mampu meningkatkan kutipan zakat padi di Selangor sebanyak 10 peratus (RM2.31 juta) dengan kenaikan jumlah pembayar kepada 3,000 orang pada tahun ini.

Program turut diserikan juga dengan penampilan istimewa Ustaz Don yang mengupas topik ‘Memberi Tanpa Diminta’ di samping slot khas bersama JPNS.