LZS GUNA PENOLONG AMIL FITRAH KUTIP ZAKAT

0
715

SHAH ALAM, 27 April 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan pembayaran zakat melalui Penolong Amil Fitrah (PAF) yang dilantik di masjid serta surau, bagi memberi ruang kepada golongan yang kurang mahir dengan teknologi menunaikan kewajipan berkenaan sepanjang bulan Ramadan 1441H dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perlaksanaan ini telah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor selaras dengan hasrat baginda untuk memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas yang tidak mahir teknologi menunaikan zakat.

Bagaimanapun, perlaksanaan itu tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan oleh LZS berdasarkan kepada panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). SOP ini turut mendapat pandangan daripada Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia Selangor.

Untuk makluman, LZS menggariskan panduan dan syarat kepada PAF yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa PKP. Antaranya PAF mestilah berumur 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai penyakit kronik, sihat serta tidak mempunyai gejala demam sewaktu bertugas.

Selain itu, para pengeluar zakat dan PAF adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman. Para pengeluar zakat juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah urusan pembayaran selesai.

Untuk memudahkan umat Islam menunaikan zakat pada musim PKP, PAF hanya akan beroperasi di masjid dan surau pada waktu pagi dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan waktu petang pada pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Sebelum ini, LZS telah mengumumkan pembayaran zakat fitrah secara atas talian sepanjang tempoh PKP menerusi laman EZakatPay atau secara perbankan internet di sembilan buah bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

KENYATAAN DARIPADA

SAIPOLYAZAN M. YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LZS