LZS INSTITUSI ZAKAT PERTAMA DI MALAYSIA LANCAR E-AGREEMENT

0
540

SHAH ALAM, 17 Julai 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjadi institusi zakat pertama di Malaysia yang mengendalikan proses dokumentasi perjanjian secara atas talian dengan melancarkan sistem e-Agreement LZS dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Ia bagi menggantikan kaedah manual yang dipraktikkan dalam penyediaan dokumen perjanjian di LZS, dengan tempoh masa dapat dikurangkan kepada tiga hari bekerja berbanding sebelum ini.

Melalui penggunaan sistem ini, proses penyediaan surat pelantikan dan perjanjian boleh dilaksanakan dalam satu platform elektronik yang merangkumi keseluruhan rangka proses yang diperlukan iaitu pendigitalan dokumen perjanjian, tandatangan secara digital dan juga penyeteman dokumen perjanjian.

Di samping dapat menjimatkan masa, sistem tersebut membantu memudahkan dan mempercepatkan proses kerja dalaman sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan LZS terutama asnaf serta pengeluar zakat dalam persekitaran norma baharu.

Untuk makluman, sistem e-Agreement LZS yang mendapat kerjasama dari syarikat Zanko Sdn Bhd dan Raffcomm Group ini merupakan antara insiatif digitalisasi yang dibangunkan bertujuan menambah baik proses operasi LZS.

Ia bagi membudayakan transformasi digital dalam pengurusan kerja dengan penggunaan teknologi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0. LZS sedang meneruskan langkah untuk memperkenalkan beberapa lagi inisiatif digitalisasi bagi mempermudahkan urusan masyarakat awam dengan LZS.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Eksekutif Zanko Sdn. Bhd., Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Teknikal Zanko Sdn Bhd, Encik Hairi Mohd Suan dan Ketua Pegawai Eksekutif Raffcomm Sdn. Bhd. Arief Adly Afendi. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.