SHAH ALAM, 21 Februari 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) giat menjalinkan kerjasama dengan ejen kutipan zakat bagi memastikan kutipan zakat dapat dioptimumkan, di samping memperkasakan agihan zakat di Selangor untuk tahun 2019 ini.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut seramai 200 orang peserta terdiri daripada ejen kutipan LZS hadir dalam program Liqa’ Ejen yang diadakan bertempat di Hotel De Palma di sini hari ini.
Menurut Pengarah Program, Rosli Abdullah, program ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menghimpunkan dan meraikan ejen kutipan lantikan LZS. Dalam program itu, para ejen telah diberi taklimat prestasi pencapaian kutipan zakat 2018, selain hala tuju baharu bagi tahun 2019 agar seiring dengan misi dan visi LZS.
“Kami melihat program ini sebagai satu platform bagi LZS untuk menjalin hubungan yang baik dengan ejen yang dilantik agar maklumat tepat berkaitan pengurusan zakat di Selangor dapat disalurkan terus pada kumpulan sasar. Namun, sedikit kelainan pada program kali ini dilakukan untuk memastikan ejen-ejen kami meliputi Ejen Perunding, Ejen Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) dan Ejen IPT diberi pendedahan dan kefahaman berkaitan zakat di Selangor.
Tambah Rosli lagi, “Melihat kepada jumlah ejen yang dilantik, kami yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat yang ditetapkan bagi tahun 2019 berdasarkan prestasi kutipan zakat yang lepas.”
Untuk makluman, ejen kutipan LZS akan dilantik bagi tempoh dua tahun dan pelantikan perlu diperbaharui berdasarkan kepada pencapaian prestasi dan sasaran kutipan yang telah ditetapkan. Bagi setiap ejen kutipan LZS, jumlah minimum kutipan zakat yang disyaratkan sebanyak RM50,000.
Sehingga kini LZS telah melantik sebanyak 144 ejen kutipan zakat yang bertauliah di seluruh Selangor. Pada majlis yang sama LZS turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kempen Insentif Ramadan 2018 dan Kempen Insentif Disember 2018.
Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.