BANGI, 2 Julai 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan buku karikatur Sembang Zakat Siri 1 bersempena dengan program Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) yang diadakan di sini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof di hadapan 250 peserta MZN.
Buku ini merupakan kompilasi karikatur dakwah zakat yang tersiar di media sosial rasmi LZS. Menggunakan pendekatan dakwah santai menerusi karikatur, LZS melihat kaedah ini sebagai satu cara efektif untuk menyampaikan mesej zakat kepada masyarakat.
Pendekatan ini diharap dapat menarik minat pelbagai golongan, khususnya generasi muda, untuk lebih memahami dan mendalami konsep serta kepentingan zakat.
Selain pelancaran buku karikatur, program MZN juga menyaksikan pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan mengenai isu-isu semasa zakat di peringkat serantau. Program ini turut dihadiri oleh pakar-pakar zakat dari pelbagai negara yang berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam usaha memperkasakan institusi zakat.
LZS berharap dengan pelancaran buku ini dan penganjuran program seperti MZN, kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai zakat akan terus meningkat, seterusnya membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.