LZS LANTIK 1,878 KETUA DAN PENOLONG AMIL KARIAH SELURUH SELANGOR

0
1040

SHAH ALAM, 5 September 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 1,878 orang Ketua dan Penolong Amil Kariah (PAK) di seluruh Selangor bagi sesi 2023-2025 yang berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat khususnya asnaf LZS.

Simbolik pelantikan ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam Bengkel Induksi Gerak Kerja Penolong Amil Kariah yang diadakan di sini hari ini.

Bengkel Induksi yang berlangsung selama dua hari ini dihadiri 108 PAK daerah Petaling melibatkan 76 buah masjid kariah.

Dalam bengkel tersebut, mereka diberi pendedahan dan pemahaman berkaitan peranan PAK membantu LZS terutama bagi menjalankan aktiviti siasatan, bancian serta semakan permohonan bagi asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Mereka turut diberi penerangan dan kaedah pengiraan terkini haddul kifayah yang diguna pakai bermula Julai tahun ini.

 

PAK yang hadir turut diberi taklimat dan latihan berkaitan gerak kerja menggunakan Sistem Portal PAK. Melalui bengkel yang dilaksanakan, LZS dapat membangun sistem pengurusan PAK yang lebih efisien dan gerak kerja lebih sistematik bagi menyantuni asnaf di seluruh Selangor.

Untuk makluman, sebanyak sepuluh siri bengkel induksi ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 10 Jun dan dijangka berakhir pada 24 September 2023.

Pada majlis tersebut, LZS turut menyerahkan Takaful Khairat Kematian kepada enam orang waris PAK daerah Petaling yang masing-masing menerima sumbangan di antara RM20,000 hingga RM22,000.