PASIR PUTEH, 30 Ogos 2018 – Program Penempatan Agro Ekonomi Desa Alam Shah, di Kampung Gong Jenarah di sini, berjaya menjadikan tanaman cili kulai secara berkelompok antara yang terbesar di negeri ini.
Menurut Eksekutif Selangor Prihatin, Muhammad Zulfadlil Azhim Ayub, projek agro ekonomi kerjasama antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tersebut menunjukkan kadar pengeluaran yang menggalakkan dari masa ke semasa sejak diusahakan pada Jun 2016.
“Kawasan seluas 11.2 hektar di sini mampu mengeluarkan kira-kira 24, 000 kilogram (kg) cili kulai pada 2016 dan meningkat kepada kira-kira 33, 000 kg pada tahun lalu.
“Malah, pengeluaran hasil cili kulai sehingga 15 Ogos tahun ini mencatat 33, 852 kg iaitu melepasi pengeluaran pada tahun lalu,” katanya pada Program Lawatan Rasmi Media dan ‘Stakeholder’ ke Projek Penempatan Berkelompok dan Agro Ekonomi di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenarah di sini baru-baru ini.
Muhammad Zulfadlil berkata, hasil pendapatan keseluruhan peserta menunjukkan peningkatan daripada RM86,000 pada 2016 kepada RM132, 000 tahun lalu.
Katanya lagi, seramai 28 peserta yang mengikuti projek tanaman itu memperoleh hasil pendapatan berbeza, namun sebanyak RM1,200 sahaja diserahkan kepada peserta terbabit.
“Bakinya kita pecahkan kepada simpanan tetap sebanyak 70 peratus yang akan diserahkan kepada peserta selepas lima tahun dan modal pusingan sebanyak 30 peratus pada musim berikutnya,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, tanaman cili kulai dihentikan sementara bermula Oktober sehingga Februari depan berikutan musim tengkujuh melanda Pantai Timur.
“Pada perubahan monsun, peserta akan menanam tanaman selingan lain seperti timun batang, labu manis, jagung dan mampu meraih pendapatan berkelompok kira-kira RM26,000 pada tahun lalu,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak RM10 juta dana pembangunan termasuk projek rumah kediaman dibina di kawasan itu.
Kawasan penempatan itu jelasnya, dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta terlibat.
Sementara itu, seorang asnaf yang ditemui, Mohamad Robi Zakaria, 50, berkata, program tersebut membuka peluang kepada beliau dan keluarga untuk keluar daripada kesempitan hidup sebelum ini.
Sebelum ini jelasnya, beliau membuat pelbagai kerja kampung dengan pendapatan di bawah RM150 seminggu.
“Selepas terlibat sebagai peserta di Desa Alam Shah dan menanam cili saya kini mempunyai pendapatan yang tetap untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anak.
“Alhamdulillah, pendapatan tetap saya kini adalah sebanyak RM1, 200 sebulan. Sesungguhnya saya amat berterimakasih kepada pihak LZS dan MAIK kerana memberi peluang kepada saya,” katanya.
Bagi seorang peserta, Tuan Hussein Tuan Mahmud, 55, berkata, selain memperolehi pendapatan dalam bidang pertanian, beliau gembira kerana mendapat melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan melibatkan pihak penduduk dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Komuniti.
“Kita berterima kasih kepada LZS dan MAIK bukan sahaja kerana menyediakan program meningkatkan ekonomi malahan melibatkan kami dengan aktiviti kemasyarakatan dengan pelajar UMK dan Kolej Komuniti untuk kami sama-sama mengadakan program berfaedah untuk penduduk di sini.
“Cuma apabila genap lima tahun di sini, saya berharap diberi peluang untuk mengembangkan segala ilmu yang diterima di sini dengan mengusahakan ladang cili secara sendiri di mana-mana lokasi,”
Sementara itu seorang peserta dalam kalangan orang muda, Nor Sam Azlan, 32, beliau tidak menghadapi masalah untuk bercampur bersama peserta yang lebih tua, kerana fokusnya adalah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
“Saya berharap pengalaman selama lima tahun yang dikutip di sini akan dijadikan modal untuk saya mengusahakan tanaman cili dan lain-lain di luar sana. Segala jasa pihak LZS dan MAIK tidak akan saya lupakan selamanya,” katanya.