LZS (MAIS) LANCAR KERJASAMA DENGAN OCBC BANK

0
270

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menjalinkan kerjasama dengan OCBC Bank (Malaysia) dengan melancarkan perkhidmatan zakat menerusi internet dan ATM bagi memudahkan pelanggan beragama Islam menunaikan kewajipan berzakat.

Kerjasama ini menjadikan OCBC Bank sebagai bank asing pertama yang menawarkan kedua-dua kemudahan serentak kepada para pelanggannya yang ingin menunaikan zakat. Untuk membuat pembayaran, pelanggan boleh log masuk ke laman web www. ocbc.com.my atau mengunjungi mana-mana ATM bank yang terletak di 28 cawangannya di seluruh negara.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Dato’ Albert Yeoh, OCBC Bank berhasrat memastikan pelanggan Islam dapat memenuhi kewajipan membayar zakat dengan cara yang paling mudah dan menyenangkan. “Pelancaran serentak perkhidmatan pembayaran zakat ini adalah salah satu daripada usaha kami untuk mengamalkan prinsip perbankan Islam yang sebenar demi manfaat pelanggan kami.”

Pada majlis itu juga, OCBC Bank menunaikan kewajipan berzakat dengan menyerahkan cek bernilai RM13,585.29 kepada wakil LZS (MAIS), Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir sebagai bayaran zakat bagi tahun berakhir 2006.