LZS SALUR BANTUAN TABUNG PESAKIT HOSPITAL BERJUMLAH RM1.8 JUTA 

0
490

SHAH ALAM, 14 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.  

Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad bertempat di Auditorium Masjid Negeri Shah Alam di sini. 

Mendahului senarai penerima ialah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat sebanyak RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM200,000. 

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000. Manakala Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000. 

Hospital Shah Alam, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan UiTM, Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi, Cheras pula masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000 diikuti Institut Kanser Negara sebanyak RM30,000. Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Baharu menerima sebanyak RM20,000. 

Untuk makluman, LZS telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS sejak tahun 2008. Ia bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital. Bantuan berbentuk geran ini diperuntukkan setiap tahun bagi memberi dana kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia. 

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Rohaizat Yon dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.