LZS SALUR RM1.8 JUTA KEPADA 17 BUAH HOSPITAL

0
609

SHAH ALAM, 25 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Bantuan berbentuk geran yang diperuntukkan sejak tahun 2008 lagi merupakan sebahagian usaha LZS menyantuni golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi meringankan beban mereka yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital.

Hospital yang mendapat sumbangan ini termasuklah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan sebanyak RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM200,000.

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000. Manakala Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000.

Hospital Shah Alam, Hospital Putrajaya, Hospital UiTM dan Hospital Rehabilitasi, Cheras pula masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000 diikuti Institut Kanser Negara sebanyak RM30,000. Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Baharu menerima sebanyak RM20,000.