LZS SALUR SUMBANGAN ZAKAT RM3.7 JUTA KEPADA TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT

0
337

SHAH ALAM, 9 November 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM3,740,000.00 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 18 buah hospital dan institusi perubatan sekitar Selangor serta Kuala Lumpur, melibatkan dua fasa penyaluran sumbangan sepanjang tahun ini.

Melalui tabung tersebut, setiap hospital dan institusi perubatan masing-masing menerima sumbangan zakat di antara RM40,000.00 hingga RM300,000.00.

Sumbangan fasa pertama disalurkan pada bulan Jun 2021 melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM1,770,000.00. Manakala sumbangan bagi fasa kedua disalurkan pada bulan November 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1,970,000.00.

Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS ini disalurkan dalam bentuk geran yang diperuntukkan oleh LZS sejak tahun 2008. Ia merupakan sebahagian usaha LZS meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis pandemik COVID-19.

Simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Antara hospital yang menerima sumbangan ini termasuklah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Institut Kanser Negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Faizal Mat Ariffin. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.