LZS SEDIA BANTUAN PASCA BANJIR BANTU ASNAF FAKIR DAN MISKIN

0
498

SHAH ALAM, 6 Januari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan pasca banjir bagi meringankan beban keluarga asnaf fakir dan miskin yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku di Selangor pada tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Bantuan baik pulih dan bina rumah ini adalah skim bantuan sedia ada kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor sepertimana dalam Garis Panduan Syarat Kelayakan Agihan Zakat.”

“Pada peringkat sekarang, pegawai teknikal LZS akan menilai kerosakan rumah asnaf sebelum bantuan dapat disalurkan dan proses baik pulih dapat dilaksanakan, bergantung kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.”

Dalam perkembangan sama, LZS menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Dana Wakaf al-Quran Selangor (Pasca Banjir) yang dilancarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam, bertujuan untuk menggantikan al-Quran yang rosak akibat banjir di masjid dan surau.

“Di samping itu, LZS juga sedang meneliti permohonan sumbangan dari pihak JAIS untuk proses pelupusan naskah al-Quran yang rosak,” katanya.

Selain bantuan pasca banjir, LZS telah meluluskan bantuan RM600 kepada 22,500 mangsa banjir di Selangor baru-baru ini.