LZS TERIMA ANUGERAH ‘BEST COMPANIES TO WORK FOR IN ASIA 2021’

0
819

PETALING JAYA, 17 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dinobatkan antara 43 syarikat yang menerima anugerah dari HR Asia – Best Companies to Work for in Asia 2021 (edisi Malaysia) dalam satu majlis berprestij yang diadakan di sini.

LZS terpilih dari 270 penyertaan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop yang menerima anugerah tersebut mewakili LZS berkata, “Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada institusi zakat di Malaysia amnya dan LZS khususnya. Ia secara tidak langsung membuktikan keupayaan syarikat pengurusan zakat diuruskan secara profesional dan bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat untuk terus menunaikan zakat di Selangor.”

Tambahnya lagi, “Pengiktirafan ini juga ditujukan khas kepada warga kerja LZS atas kerja keras dan kesungguhan mereka memberikan yang terbaik kepada asnaf dan juga pengeluar zakat terutama dalam waktu pandemik ini.”

HR Asia Best Companies to Work for in Asia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh HR Asia bagi mengiktiraf organisasi seluruh Asia dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libaturus warga kerja.
Organisasi yang menyertainya perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan TEAM (Total Engagement Assessment Model) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak.

Seterusnya, pembentangan kepada panel penilai berkenaan inisiatif yang diusahakan LZS sebagai sebuah organisasi prihatin kepada masyarakat dan warga kerja ketika tempoh COVID 19 sebelum dipilih sebagai pemenang.