SHAH ALAM, 17 Februari 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus mengukuhkan reputasi di persada antarabangsa apabila menerima Cambridge Islamic Funds Awards 2025 (CIFA 2025) bagi kategori Best Islamic Institution for Humanitarian and Relief Causes in Malaysia.
Anugerah berprestij yang dianjurkan oleh Cambridge International Financial Advisory, United Kingdom itu mengiktiraf kecekapan LZS dalam mengurus dana zakat secara telus, efisien dan berimpak tinggi, khususnya dalam memperkasakan golongan asnaf serta menyantuni komuniti yang memerlukan.
Menurut Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin, pengiktirafan ini merupakan cerminan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan dan integriti LZS dalam pengurusan zakat.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pendekatan bersepadu dan strategik LZS dalam mengurus serta mengagihkan zakat bukan sahaja diterima di peringkat nasional, malah turut mendapat perhatian antarabangsa. Ini menjadi pemangkin untuk kami terus menyantuni ummah dengan penuh komitmen, integriti dan profesionalisme,” katanya.
Pemilihan LZS sebagai penerima anugerah tersebut adalah berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk tahap pematuhan Syariah, prestasi konsisten dalam pengurusan zakat, inovasi dalam pengurusan aset Islam, tadbir urus beretika serta amalan pengurusan risiko yang mantap.
CIFA merupakan platform global yang memberi pengiktirafan kepada institusi kewangan Islam yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan dan impak sosial berteraskan Syariah.
Pada tahun 2024, LZS mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi institusi zakat pertama di Malaysia yang menerbitkan Laporan Kelestarian, di samping dinobatkan sebagai Organization of the Year (Zakat Management) dalam Sustainability and CSR Malaysia Awards 2024.