LZS TERUS BANTU PELAJAR FAKIR MISKIN MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT: SALUR RM2.08 JUTA KEPADA 156 SEKOLAH

0
313

Tarikh : 4/16/2010
Penulis : Khairul Izwan Bin Bakeri

SHAH ALAM, 12 April 2010 – Sebanyak 156 buah sekolah seluruh Selangor menerima bantuan zakat sebanyak RM2.08 juta dalam Program Sekolah Angkat tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini. Ia bertujuan membantu anak-anak asnaf fakir dan miskin yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan melalui aktiviti berbentuk akademik dan sosial yang akan diuruskan oleh pihak sekolah.

Antaranya kelas tambahan, kursus motivasi, teknik menjawab peperiksaan, kursus celik teknologi maklumat (IT), kem ibadah dan kursus penerapan nilai-nilai Islam di samping penyediaan bahan rujukan dan pelbagai inisiatif lain lagi.

Program ini melibatkan sekolah menengah, rendah dan sekolah agama yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran dengan memberikan fokus kepada anak-anak asnaf yang bakal menduduki peperiksaan utama. Antara sekolah yang menerima bantuan adalah SK Seksyen 7, Shah Alam, SMK Abdul Jalil Hulu Langat dan SK Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor. Setiap sekolah menerima minima RM10 ribu hingga RM20 ribu bergantung kepada jumlah anak-anak asnaf yang belajar di sekolah berkenaan.

Ia mula dilaksanakan pada tahun 2009 dengan hanya melibatkan 43 buah sekolah dari daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sahaja. Namun pada tahun ini, program tersebut dikembangkan lagi ke seluruh negeri Selangor dengan matlamat yang sama bagi memastikan anak-anak fakir miskin ini terus mendapat pendidikan yang sempurna.

Bantuan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dato’ Dr Hailani Muji Tahir.

Turut hadir Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Ariffin Mohd Amin dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.