LZS UMUM PELANTIKAN MOHD KHAIDZIR SEBAGAI CEO BAHARU

0
36

SHAH ALAM, 28 Mac 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Khaidzir Shahari sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 7 April 2025.

Pelantikan Mohd Khaidzir bagi menggantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan tiga tahun sebagai CEO LZS pada 31 Mac ini.

Mohd Khaidzir mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang tadbir urus korporat, kewangan, pengurusan risiko, pematuhan, kawalan dalaman dan pengauditan. Beliau sebelum ini merupakan rakan kongsi dan Pengarah Eksekutif di KPMG Malaysia, selain mengetuai Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan di KPMG Management & Risk Consulting Sdn Bhd.

Sepanjang kerjayanya, Mohd Khaidzir memainkan peranan penting dalam penilaian kawalan dalaman, audit risiko dan penstrukturan tadbir urus korporat. Beliau juga berpengalaman dalam memberi khidmat nasihat dan pengauditan kepada pelbagai entiti, termasuk syarikat antarabangsa, syarikat tersenarai awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), institusi kewangan serta agensi antarabangsa.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Khaidzir merupakan akauntan bertauliah dari Institut Akauntan Malaysia (MIA), ahli bertauliah di Chartered Institute of Management Accountant (CIMA), Certified Global Management Accountant (CGMA) dan Certified Internal Auditor (CIA), selain menganggotai Jawatankuasa Kewangan Islam, MIA. Atas kepakarannya, beliau turut diberi kepercayaan menjadi Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM).

Pelantikan Mohd Khaidzir diharap dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja LZS, di samping mempertingkatkan tadbir urus korporat agar LZS kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Selangor, khususnya golongan asnaf.