KLANG, 21 Januari 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersimpati dengan musibah menimpa adik Nuraisyah Sahrin 13, yang putus kedua-dua kaki selepas digilis lori dalam satu kejadian kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam pada Isnin, 18 Januari lalu.
Oleh itu, LZS yang diwakili Pengurus Daerah Klang, Saiful Annuar Abdullah Salleh bersama beberapa eksekutif LZS telah menziarahi adik ini pada 20 Januari dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM500.
Menurut Saiful, LZS akan menyalurkan bantuan susulan seperti kerusi roda dan kaki palsu mengikut keperluan Noraisyah. “Kami akan melihat keperluan adik Nuraisyah memandangkan banyak agensi yang turut ingin menyumbang bantuan. Kami ada akan berbincang dengan keluarga Nuraisyah bagi melihat keperluan adik ini yang boleh LZS bantu,” katanya semasa pertemuan semalam.
Tambahnya, “Bantuan yang akan disalurkan kepadanya adalah di bawah asnaf gharimin iaitu bantuan hutang perubatan memandangkan keluarga ini bukan asnaf fakir atau miskin.”