MAKLUM BALAS BERKENAAN BERITA ‘TIGA LUBANG DITEBUK PADA TUBUH’

0
423

SHAH ALAM, 1 September 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian bertarikh 1 September 2015 bertajuk ‘Tiga Lubang Ditebuk Pada Tubuh’.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Rohaizat Asyikin Ismail tidak mampu menyediakan kelengkapan perubatan sepenuhnya untuk anaknya, Mohd Haris Asraf yang berusia dua tahun. Haris selama ini bergantung dengan beg najis sejak lahir kerana saraf usus gagal berfungsi menyebabkannya tidak mampu membuang air secara normal. Selain itu, keluarga ini juga turut menghadapi masalah sewa rumah yang tidak mampu dijelaskan.

Untuk makluman, masalah yang dihadapi oleh keluarga Rohaizat telahpun mendapat perhatian LZS. Hasil siasatan mendapati keluarga ini merupakan asnaf miskin berdaftar dengan LZS di daerah Hulu Selangor, yang telah disantuni dengan bantuan zakat sejak tahun 2013.

Antara bantuan zakat yang telah diterima termasuklah bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan makanan bulanan, bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan. Selain itu beliau turut menerima bantuan perubatan bagi anaknya sejak tahun 2014 berjumlah RM450 sebulan.

LZS amat prihatin dengan masalah kesihatan yang dihadapi oleh anak beliau. Memandangkan kos rawatan perubatan yang tidak mampu ditanggung oleh Rohaizat,  maka disarankan agar beliau ke cawangan LZS yang berhampiran dan mengemukakan kos rawatan perubatan terkini yang diperlukan agar LZS dapat mempertimbangkan bantuan sewajarnya berdasarkan kepada keperluan dan kelayakan.

Berhubung dengan masalah rumah sewa, LZS maklum berkenaan masalah tersebut dan  sedang menguruskan bantuan pembelian rumah kos rendah untuk beliau sekeluarga.

Sekian, terima kasih.