MAKLUM BALAS DUA BERADIK BERBAJU SEKOLAH SELONGKAR TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH

0
367

PELABUHAN KLANG, 11 Januari 2019 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kisah dua beradik berbaju sekolah yang menyelongkar tempat pembuangan sampah bagi mencari duit belanja seperti yang ditularkan di page facebook Milo Suam baru-baru ini.

Berdasarkan kepada maklumat diterima, LZS segera menziarahi keluarga tersebut pada 11 Januari 2019. Hasil siasatan, mendapati dua beradik ini adalah dari keluarga etnik Rohingya yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) warga Myanmar.

Nur Islam bin Abul Husson, 43, bapa kepada keluarga ini bekerja sebagai pembantu kedai di Pasar Awam Pelabuhan Klang dengan pendapatan RM50 sehari. Beliau menanggung seorang isteri Nujumah Khatu binti Sultan Islam, 32, dan enam orang anak berusia antara dua hingga 14 tahun.

 

Manakala dua beradik yang tular itu, masing-masing Mohammed Jubair bin Nur Islam, 14, dan Sufaidah binti Nur Islam, 11. Mereka yang bersekolah di sebuah sekolah swasta di Klang, menjadikan aktiviti rutin dengan mencari barangan lusuh di tempat pembuangan sampah untuk dijual semula sebelum ke sekolah.

Keluarga ini telah menetap di Malaysia hampir sembilan tahun, kini tinggal di rumah kedai dibiayai sepenuhnya oleh majikan berbangsa India.

LZS amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Nur Islam. Dalam pertemuan itu, LZS turut menyerahkan sumbangan keperluan harian berupa makanan asasi untuk mereka yang disampaikan Officer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid.

Untuk makluman, syarat umum kelayakan agihan zakat ialah individu atau keluarga itu mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap. Bagaimanapun, atas keprihatinan dan dasar kemanusiaan LZS turut menyalurkan sumbangan zakat kepada golongan Rohingya ini melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar seperti Majlis Ulama Rohingya Malaysia.