MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN WARGA EMAS TINGGAL DI RUMAH USANG

0
418

SHAH ALAM, 26 November 2018 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kisah seorang warga emas yang hidup di rumah usang seperti yang disiarkan di Sinar Harian dan Harian Metro baru-baru ini.

Berdasarkan kepada rekod LZS mendapati Marsidin Ruslan sebelum ini pernah didaftarkan sebagai asnaf miskin pada tahun 2011, namun telah dikeluarkan daripada senarai asnaf berikutan beliau telah berpindah ke Pahang pada sekitar tahun 2015.

Bagaimanapun, Marsidin telah didaftarkan semula sebagai asnaf miskin di bawah tanggungan adiknya yang bekerja, Siti Rodziah Ruslan memandangkan adiknya itu menjaga Marsidin. Buat masa ini, Marsidin tinggal bersebelahan rumah Rodziah.

Untuk makluman, LZS telah menziarahi kedua-dua beradik ini pada awal tahun bagi membantu membina sebuah rumah yang sempurna buat mereka berdua tinggal bersama. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah tanah. LZS sekali lagi menziarahi kedua-dua beradik baru-baru ini, dan dimaklumkan bahawa isu tanah tersebut dapat diselesaikan pada hujung bulan ini.

Sehubungan itu, LZS akan segera menyalurkan bantuan pembinaan rumah untuk kedua-dua beradik bagi memastikan mereka dapat tinggal dalam keadaan selesa setelah isu tanah selesai.