SHAH ALAM, 10 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan berkenaan mesej yang sedang tular di media sosial berkenaan ‘Permohonan Pinjaman Walaupun Mendapat Bantuan Kewangan Bulanan’.
Untuk makluman, LZS tidak pernah menyediakan bantuan berupa pinjaman kepada mana-mana individu di Selangor. Pengagihan zakat yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak meliputi lapan asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan zakat boleh berurusan dengan Penolong Amil Kariah (PAK) yang dilantik di kariah masing-masing atau hadir ke cawangan LZS yang berhampiran.
Sehubungan itu, LZS menyeru kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati dengan penipuan yang melibatkan penggunaan nama LZS.