PADANG, Sumatera Barat – Pembentangan kertas kerja bertajuk Strategi Lembaga Pengelola Zakat Dalam Menangani Kemiskinan oleh Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Tuan Hj Ahmad Shahir Makhtar di Seminar Zakat Asia Tenggara kali ke-II di sini pada 1 November dikagumi oleh rata-rata peserta seminar berkenaan.
Rata-rata peserta memberikan tepukan gemuruh selepas melihat sendiri mekanisma agihan yang telah dilaksanakan di Selangor yang merangkumi semua aspek keperluan asas masyarakat. LZS (MAIS) yang menekankan lima program utama meliputi pembangunan ekonomi, pembangungan sosial, pembangunan institusi agama, pembangunan insan dan pembangunan pendidikan. Program pembangunan tersebut diperincikan satu persatu meliputi keseluruhan aspek yang diperlukan.
Bukti-bukti kejayaan yang dipaparkan melalui statistik dan persembahan video juga menggambarkan bukti sebenar agihan yang telah dilaksanakan.
Salah seorang peserta, Ima Rachmalia, Pengarah, Dompet Dhuafa Republika merasa begitu kagum dengan mekanisma agaihan yang telah dilaksanakan. Baginya kejayaan yang telah dilaksanakan boleh dijadikan rujukan untuk mereka melaksanakan program agihan di tempat mereka.
Bagi Iqbal Imaddudin Zulkifli, Penolong Pengarah 3 Zakat, Jabatan Wakaf dan Haji (JAWHAR), melihat pembentangan tersebut beliau akui bahawa LZS (MAIS) adalah institusi Zakat yang paling berjaya di Malaysia terutamanya dalam urusan kutipan dan agihan zakat. Kebijaksanaan dalam pengagihan yang mengajar penerima berdikari memberi menafaat sepenuhya kepada penerima zakat dan secara tidak langsung kepada masyarakat.
Manakala bagi Abdul Hakim Amir Osman, Pengurus Operasi PPZ, Wilayah Persekutuan pula mekanisma agihan LZS (MAIS) boleh dicontohi oleh institusi zakat yang lain yang mana ianya lebih jauh ke hadapan dan dapat memenuhi kehendak pembayar dan penerima zakat.
Seminar Zakat Asia Tenggara yang dilaksanakan selama empat hari tiga malam itu bermula dari 30 Oktober hingga 3 November bertemakan Membangun Peradapan dan Syiar Zakat Di Asia Tenggara bertujuan mewujudkan kesamaan pandangan dan konsep masyarakat Muslim dalam soal Zakat dan ekonomi Islam.
Seminar ini melibatkan 397 orang peserta dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Singapura, Jerman, Australia, Qatar, Aman, Arab Saudi dan berbagai lagi.