PASAR RAKYAT ASNAF BUKTI KEMAMPUAN ZAKAT BANTU FAKIR DAN MISKIN

0
332

SHAH ALAM, 25 Februari 2012 – Kewujudan Pasar Rakyat Asnaf telah menjadi bukti kemampuan zakat dalam melahirkan usahawan di kalangan asnaf fakir dan miskin. Sehingga kini, terdapat 41 usahawan asnaf fakir dan miskin yang menjalankan perniagaan di Pasar Rakyat Asnaf yang terletak di Wisma MAIS, Seksyen 3 dan TTDI Jaya (Shah Alam) serta Putra Perdana (Puchong).

Terbaru, sebuah pasar yang beroperasi di Uptown Ara Damansara menempatkan seramai 50 peserta dengan bantuan modal sebanyak RM500 dibuka. Kesemua Pasar Rakyat Asnaf dipantau oleh MAIS Zakat Sdn Bhd.

Bermula dengan bantuan modal dari Lembaga Zakat Selangor (MAIS), kesemua usahawan ini berpeluang untuk mempromosikan barangan mereka di pasar tersebut.

Pada majlis yang sama, seramai 21 usahawan asnaf terdiri daripada peserta Pasar Rakyat Asnaf menerima bantuan modal berjumlah RM49,286 dari MZSB. Setiap peserta akan menerima bantuan antara RM850 hingga RM5,500 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Bantuan ini merupakan bantuan zakat yang diberikan bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan para peserta.

Bantuan disampaikan oleh Setiausaha MAIS, Mohd Haniff Hassan.