PENDIRIAN LZS BERKAITAN AMANAH DAN INTEGRITI MENGURUS WANG ZAKAT

0
707

SHAH ALAM, 5 Januari 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat diurus dengan baik.

Susulan kenyataan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, LZS sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

LZS amat memandang serius terhadap sebarang salah laku yang membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Sebagai entiti yang menguruskan dana zakat untuk kebajikan umum, LZS amat mengutamakan nilai amanah bukan sahaja dalam kalangan warga kerja tetapi juga pihak yang dilantik oleh LZS.

Sehubungan itu, LZS akan terus menambah baik tadbir urus dan proses dalaman bagi memastikan salah laku integriti tidak berlaku serta dapat ditangani dengan baik.

Sehingga kini, pelbagai kawalan risiko dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara termasuk pelaksanaan pelbagai siri pengauditan antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit ABMS, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya.

Kenyataan Oleh,
MOHD SABIRIN MOHD SARBINI
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS)