Gombak, 21 Mac–“Pihak kami amat meraikan kehadiran kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan usaha dakwah ini amat saya sokong. Pihak kami turut akan berusaha agar kakitangan Zoo Negara dapat menyertai pembayaran zakat melalui Skim Berkat.”antara ucapan Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah dalam pertemuan bersama beliau semasa aktiviti Ziarah Zakat di sini hari ini.
Beliau amat mengalu-alukan usaha ini dan amat berharap usaha ini akan berterusan. Selain perbincangan berkaitan kewajipan berzakat, pihak LZS turut berkongsi maklumat berkaitan pengagihan zakat antaranya bagi membantu membaikpulih surau Zoo Negara.
Setelah pertemuan dengan Dr. Mohamad , aturcara diteruskan dengan sesi perkongsian Ilmu bertajuk “Memberi Tanpa Diminta” yang disampaikan oleh Ustaz Hashim Al-Jawi, Pegawai Dakwah LZS.
Hampir 50 orang kakitangan Zoo Negara didedahkan tentang kewajipan berzakat, bentuk pengagihan dan kaedah taksiran zakat melalui sesi ini. Sesi soal jawab turut diadakan untuk memantapkan lagi pemahaman mereka.
Ziarah Zakat ini berakhir dengan sesi penyerahan bantuan peralatan ibadah untuk surau Zoo Negara dan pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan.