PERANAN LZS MENANGANI KEMISKINAN

0
1448

SHAH ALAM — Dalam usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) menangani kemiskinan tiga objektif utama diberi penekanan iaitu mengurangkan kadar kemiskinan, mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan dan mendidik mereka untuk berdikari. Bagi mencapai objektif ini, LZS mengagihkan zakat meliputi empat program utama iaitu program pembangunan sosial, insan, ekonomi dan pendidikan.

Penekanan ke empat-empat program ini memberi keseimbangan kepada segenap sudut sama ada jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk membolehkan asnaf membangunkan diri dan jiwa mereka.

Secara keseluruhannya melibatkan 70 jenis bantuan untuk asnaf fakir dan miskin di Selangor bergantung kepada keperluan bagi menangani desakan hidup mereka.

1) Program Pembangunan Sosial

Penekanan terhadap program ini penting bagi memastikan asnaf fakir miskin dapat hidup dengan selesa lebih-lebih lagi dari aspek perlindungan, makanan bulanan, kewangan bulanan dan sakit kronik.

Fokus utama LZS kepada keempat-empat bantuan ini dapat membantu asnaf fakir miskin memberikan tumpuan berusaha menambah pendapatan keluarga tanpa perlu lagi memikirkan tentang desakan tempat tinggal atau kewangan bulanan atau musibah penyakit yang dihadapi.

Ada di kalangan asnaf fakir dan miskin ini terdesak daripada segi perlindungan dan terpaksa menyewa disamping pendapatan mereka yang tidak mencukupi.  Maka LZS membantu membiayai rumah sewa mereka.

Ada juga sebilangan mereka yang tinggal di rumah yang uzur, bocor, reput dan tidak selamat diduduki.  Maka dengan tapak rumah yang mereka ada, LZS membina rumah baru untuk mereka, lengkap dengan bekalan eletrik dan air disamping kemudahan lain seperti tiga bilik, tandas, kipas dan lampu.

Disamping itu disediakan juga bantuan baik pulih rumah untuk mereka yang mempunyai rumah tetapi menghadapi banyak kerosakan. Sehingga kini sebanyak RM18.5 juta telah diagihkan untuk pembinaan rumah, baik pulih rumah asnaf fakir miskin di Selangor yang melibatkan 517 orang.

Manakala  asnaf fakir miskin yang tidak mempunyai tanah pula, LZS bina penempatan berkelompok untuk mereka seperti Desa Kasih dan Desa Ehsan.  Sehingga kini LZS mempunyai 13 buah desa ehsan dan desa kasih dengan jumlah 3,430 buah rumah.

Manakala bagi menangani kemiskinan bandar terutamanya berkaitan tempat, tinggal LZS membeli pangsapuri untuk mereka tinggal sementara waktu.  Di masa yang sama mereka perlu berusaha mendapatkan penempatan yang baru yang mampu mereka miliki. Sehingga kini LZS mempunyai 8 buah pangsapuri dengan jumlah 180 buah rumah.

Ada juga dalam kalangan asnaf fakir miskin yang mempunyai pendapatan bulanan yang  amat tidak mencukupi atau tiada pendapatan tetap, seperti mana yang ditetapkan di dalam garis panduan  LZS, disamping menanggung masalah lain yang kritikal seperti sakit, mempunyai tanggungan yang ramai dan sebagainya.  Di sini LZS membantu meringankan hidup mereka dengan memberi bantuan makanan dan kewangan bulanan.

Begitu juga jika mereka menghadapi sakit kronik seperti dialisis, kanser, sakit jantung dan sebagainya, zakat membantu mereka dengan membantu membiayai rawatan berkaitan. Sehingga kini LZS membiayai 4 pusat dialisis  (MAIS) dengan kos mencecah RM21 juta setahun.

Selain LZS memberikan keutamaan kepada aspek keselesaan kehidupan, bantuan lain juga turut disediakan seperti bantuan Hari Raya yang bertujuan mengembirakan asnaf fakir dan miskin.  Pada tahun ini LZS menyalurkan sebanyak RM14.2 juta bagi membantu asnaf fakir dan miskin menyambut Hari Raya kepada 19,008 orang fakir dan miskin di mana mereka menerima RM550 minimum dan RM1,000 maksimum bergantung kepada tanggungan.

2) Program Pembangunan Insan

Manakala bagi Program Pembangunan Insan pula, LZS melihat pentingnya diterapkan elemen keseimbang dunia dan akhirat di jiwa asnaf.  Walaupun mereka  miskin harta diharapkan mereka juga kaya jiwa. Pelbagai program, kursus dan latihan kemahiran disediakan untuk mereka.  Setiap program, kursus dan latihan yang disediakan mempunyai kumpulan sasar tertentu iaitu anak-anak fakir miskin, warga emas, ibu bapa, ibu tunggal, bapa tunggal, belia, pelajar dan juga mahasiswa.

Ini merupakan satu usaha LZS melahirkan asnaf yang berkeyakinan, berdaya saing, berkemahiran, berilmu dan beriman.  Setiap tahun LZS menyalurkan hampir RM7 juta untuk tujuan ini.

3) Program Pembangunan Pendidikan

Program ini merupakan agenda utama LZS dalam membantu asnaf fakir miskin.   Kepentingan pendidikan ini bukan sahaja diterapkan kepada ibu bapa malahan dikalangan anak-anak mereka agar mereka sedar bahawa hanya dengan pendidikan, mereka mampu mengubah hidup keluarga mereka agar  tidak mewarisi kemiskinan.

Malah melalui program ini juga telah membuka peluang kepada anak-anak asnaf untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi serta bebas dari buta huruf.  LZS mengharapkan dengan penekanan terhadap aspek pendidikan ini, masa depan anak-anak asnaf fakir miskin akan lebih cerah dan mampu membantu keluarga mereka pula.

Bagi aspek pendidikan ini LZS membantu anak-anak asnaf fakir dan miskin bermula dari pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran. Bantuan yang disediakan termasuklah membiayai yuran sekolah dan pusat pengajian, kelengkapan persekolahan, tuisyen, komputer riba, wang sagu hati, pengangkutan dan sebagainya.

LZS turut menyediakan:-

  1. Pusat Komuniti Asnaf sebagai pusat tuisyen dan pusat motivasi.
  2. Membina asrama anak-anak fakir miskin.  Sehingga kini terdapat tiga buah asrama anak fakir dan miskin ini iaitu di Klang, di Kuala Selangor dan di Hulu Selangor
  3. Menyediakan keperluan pendidikan semasa kepada anak-anak asnaf.

4) Program Pembangunan Ekonomi

Selain tiga program utama tadi, LZS turut membantu asnaf fakir miskin yang berpotensi dalam bidang keusahawanan untuk membangunkan ekonomi keluarga mereka dengan:-

a) mewujudkan peluang pekerjaan  b) mewujudkan peluang perniagaan

Pihak LZS akan mengenalpasti asnaf fakir dan miskin yang berpotensi untuk menjadi usahawan dan potensi mereka akan digilap.  Bantuan diberikan berbentuk suntikan modal, meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran, kualiti produk dan jenama, bimbingan dan pemantauan berterusan. Sehingga kini seramai 1,300 orang telah berjaya menjadi usahawan.

Disamping itu, asnaf fakir miskin yang mempunyai kemahiran juga boleh memohon bantuan ini untuk mereka menjadi usahawan.

Sehingga kini LZS telah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada asnaf melalui projek:-

1. Usahawan kelompok.

Usahawan kelompok ialah satu usaha yang dihimpunkan untuk membuat satu perniagaan yang sama contohnya Usahawan Bergerak, Usahawan Pasar Rakyat Asnaf dan Usahawan Bazar Ramadan.

2. Projek Berkelompok

Bagi projek berkelompok pula ialah satu projek berkelompok yang melibatkan asnaf fakir miskin yang berkemahiran dan mereka diberikan gaji berdasarkan kerja yang berjaya mereka hasilkan. Contohnya Bengkel Jahitan (D’Asnaf Anggun) dan Bengkel Kraf (D’Asnaf Kraf). Ramai juga dikalangan asnaf fakir dan miskin yang menjadi usahawan seperti Usahawan Dobi & Sabun, Katering, Pertanian, Penternakan, Perikanan, Jahitan Pakaian, Tadika & Taska dan lain-lain.

Dalam membangunkan usahawan LZS memberikan peluang bagi menjalani berbagai latihan dalam usaha membudayakan usahawan. Antaranya kursus perintis usahawan dan kursus pemasaran.

Selain itu, LZS turut mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar seperti Kolej Inspen dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dalam memperbanyakkan lagi ilmu usahawan bagi asnaf. Setiap tahun LZS menyalurkan hampir RM5 juta untuk tujuan ini.