SABAK BERNAM – Bagi mengeratkan silaturahim di antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan penduduk setempat di samping berkongsi tentang kewajipan berzakat terutamanya zakat padi, LZS telah mengadakan Program Zakat Bersama Petani di Homestay Parit 2, Sg Hj Dorani di sini pada 10 April.
Program dakwah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Selangor (JPS) ini dihadiri seramai 300 petani dari kawasan berhampiran.
Petani-petani ini adalah terdiri daripada mereka yang telah pun menunaikan zakat padi dan berpotensi menjadi pembayar zakat padi. Antara pengisisan program ialah, Ceramah Zakat bersama Tn Hj Yusri Hj Karim, Mudir Ma’ahad Tahfiz Hasanah, Bukit Belimbing dengan Tajuk Zakat Padi: Kesan dan Kebaikan.
Salah seorang peserta, Fatimah Ibrahim, 54 berkata, beliau gembira menghadiri program ini memandangkan penceramah dapat menyampaikan dakwah zakat dengan bersahaja dan penuh pengisian. Baginya selain mengetahui ilmu tentang pertanian, tanggungjawab berzakat ini juga wajib ditunaikan.
Selain itu, JPS turut memberikan penerangan mengenai Teknik Perataan Tanah Sawah dan Kawalan Perosak Bersepadu kepada para peserta.
Program selanjutnya dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah dan juga pameran produk-produk pertanian. Kaunter zakat dan produk kraf turut dibuka.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Sabak Bernam, Tn Hj Anuar Bujang yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Yaakob Sapari. Turut hadir ialah Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.