PROGRAM ZIARAH MEDIA: JAMBATAN ERATKAN LZS (MAIS) DENGAN MEDIA

0
205

Shah Alam – Buat julung kalinya bersempena dengan Bulan Zakat Negeri Selangor (BZNS), Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mengadakan Program Ziarah Media bertempat di Karangkraf Sdn Bhd dengan disertai lima buah lori usahawan asnaf bergerak (mobile entrepreneur) baru-baru ini.

Program Ziarah Media tersebut dirangka khusus untuk meraikan para kakitangan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) yang sentiasa menyokong usaha LZS (MAIS) di dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam di Selangor.

Di samping itu, ia bertujuan mengeratkan silaturahim di antara kakitangan LZS (MAIS) dan media berkenaan dan membuka ruang kerjasama media yang lebih besar pada masa hadapan.

Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar di dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, program ini adalah lambang penghargaan LZS (MAIS) kepada pihak media.

Sementara itu, Hashim Anang selaku wakil KKSB pula mengharapkan kerjasama LZS (MAIS) dan KKSB ini akan berterusan dan menyeru kakitangan KKSB agar meningkatkan caruman zakat mereka melalui potongan gaji, memandangkan kini potongan zakat kakitangan KKSB baru berjumlah RM20,000 sebulan.

Majlis santai itu turut disajikan dengan pelbagai jenis juadah dan menu yang memikat selera hasil masakan para usahawan bergerak asnaf. Kakitangan KKSB turut diraikan dengan kuiz zakat dan cabutan bertuah bagi setiap penyertaan baru potongan zakat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor Dato’ Hj. Abdul Rahman Palil dan juga Pengarah Urusan KKSB Dato’ Hussamuddin Yaacub.

Dalam majlis yang sama, LZS (MAIS) turut menyerahkan sumbangan berupa sejadah, al-Quran dan Yasin untuk kegunaan surau KKSB. LZS (MAIS) turut merancang untuk mengadakan program yang sama di empat buah organisasi media yang lain.