SKUAD JEJAK KEMISKINAN DAERAH PETALING: MENCARI KELUARGA YANG LAYAK MENERIMA BANTUAN ZAKAT

0
564

PUCHONG, 12 Nov 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengadakan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) siri ketiga bagi daerah Petaling bertujuan untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin berdaftar di LZS.

Matlamat LZS ialah menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di mana hendak memohon.

Dalam operasi yang dilaksanakan hari ini, melibatkan 22 buah keluarga di Pangsapuri Pangsa Perdana Puchong Perdana, Puchong. Siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di setiap lokasi dengan kerjasama ketua kampung Batu 12 Puchong, Pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) Surau Pangsapuri Perdana, Puchong Perdana di mana penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka.

Turut sama membantu, AJK penduduk, penolong amil kariah Masjid As-Salam dan Masjid Jamek Batu 12 Puchong. Hasilnya, sebanyak 13 keluarga layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Hari Raya dan bantuan persekolahan. Manakala bantuan zakat yang lain akan disalurkan bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga.