SKUAD JEJAK KEMISKINAN: OPERASI MENCARI DAN MENGENAL PASTI KELUARGA YANG MEMERLUKAN

0
283

PUCHONG, 18 Oktober 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini, mengadakan Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bagi daerah Petaling bertujuan untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin. Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di mana hendak memohon.

Dalam operasi yang dilaksanakan hari ini, melibatkan 70 buah keluarga di Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru Puchong. Siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di setiap lokasi, di mana penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka.

Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan persekolahan. Manakala bantuan lain akan disalurkan bergantung kepada keperluan keluarga tersebut.

Sehingga Ogos 2014, LZS berjaya mengesan seramai 338 keluarga asnaf fakir dan miskin hasil daripada SJK yang diadakan.