TIADA LAGI ALASAN TIDAK BERPENDIDIKAN

0
482

Shah Alam – Dalam usaha memastikan pendidikan menjadi tunjang utama kehidupan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan pendidikan untuk semua anak kelahiran negeri Selangor iaitu melalui asnaf fakir dan miskin dan asnaf fisabilillah.

Bagi mereka yang memang telah tersenarai sebagai penerima bantuan di bawah asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan satu pakej bantuan pendidikan yang lengkap bermula dari tahap awal pendidikan, iaitu pra-sekolah sehinggalah ke menara gading, iaitu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam mahu pun swasta, mereka layak mendapat bantuan pendidikan yang disediakan oleh LZS. Mereka dibantu sepenuhnya merangkumi kos pengajian, penginapan, teuisyen dan elaun sara diri dan elaun khas bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus bahasa.

Manakala bagi asnaf fisabilillah, ialah mereka yang tidak tersenarai di bawah kategori fakir atau miskin; namun kurang mampu menyediakan dana pendidikan. Untuk golongan ini, LZS menyediakan dua jenis bantuan iaitu Bantuan Umum Pelajaran dan Dermasiswa pelajaran seperti pelajar di Timur Tengah (Mesir, Jordon dan Syiria) dan bagi mana-mana pelajar luar negara yang tidak mendapat bantuan Dermasiswa mereka boleh mendapatkan Bantuan Umum Pelajaran Belajar di Luar Negara iaitu sebanyak RM2,500 setahun.

Bagi bantuan umum pelajaran LZS memperuntukkan bantuan sebanyak RM700 setahun bagi kursus tahap diploma, ijazah Sarjana Muda RM1,000 setahun; Sarjana pula RM1,500 setahun dan Ijazah Doktor Falsafah sebanyak RM2,000 setahun.

Antara syarat-syarat permohonan bantuan umum pelajaran adalah beragama Islam, lahir di negeri Selangor, menetap di Selangor tidak kurang dari lima tahun, pendapatan Ibu Bapa kurang dari RM3,000 dan tidak mendapat sebarang bantuan dari mana-mana agensi seperti MARA, PTPN, JPA dan sebagainya.

Bagi mereka yang ingin memohon bolehlah mendapatkan borang permohonan di kaunter zakat berhampiran anda atau layari www.zakatselangor.com.my.