VIRAL WHATSAPP PALSU BANTUAN PENDIDIKAN TERSEBAR LAGI

0
433

SHAH ALAM, 19 September 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan maklumat berkenaan bantuan RM400 yang diberikan kepada ibu bapa mempunyai tiga anak bersekolah pada tahun ini, seperti yang tersebar dan menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak awal Januari dan kini disebarkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Untuk makluman selain bantuan pendidikan kepada asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan bantuan umum pelajaran (BUP) di bawah asnaf fisabilillah. Permohonan bantuan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

viral-wasap pendidikan-palsu 1

BUP di bawah asnaf fisabilillah ini merupakan sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta ibu bapa atau penjaga yang membiayai persekolahan anak-anak mereka setiap tahun.

Permohonan adalah tertakluk kepada garis panduan dan syarat kelayakan yang ditetapkan. Walau bagaimanapun permohonan bantuan ini telah ditutup pada 31 Mac lalu, berikutan peruntukan zakat sebanyak RM25 juta telah dipenuhi yang disalurkan kepada 36,175 orang pelajar.

Sehubungan dengan itu, LZS memohon semua pihak agar tidak terus menyebarkan maklumat yang diviralkan. Sebarang kenyataan rasmi LZS dikeluarkan melalui laman web www.zakatselangor.com.my atau facebook rasmi Zakat Selangor. Pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.