ZAKAT SELANGOR BANGUNKAN PENEMPATAN AGRO-EKONOMI BANTU ASNAF FAKIR DAN MISKIN KELANTAN

0
800

PASIR PUTEH, 3 Mei 2016 – Kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) bagi membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’ membuahkan hasil, apabila penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Pasir Puteh dirasmikan hari ini.

Konsep penempatan agro-ekonomi bermatlamat agar asnaf fakir dan miskin yang disantuni akan lebih produktif dalam menjana ekonomi keluarga Asnaf ini akan meraih pendapatan bulanan melalui projek tanaman kontrak yang dibangunkan bersama.

 kelantan 3

Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah kepada penghuni Desa Alam Shah disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Inisiatif ini dibangunkan atas keprihatinan Sultan Selangor agar manfaat dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri-negeri yang kurang mempunyai sumber zakat. Hasilnya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah direalisasikan selepas pembinaan penempatan yang sama di Taman Desa Asnaf Perlis pada tahun 2013.

Penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah berkeluasan 37 ekar ini membabitkan pembinaan 30 buah rumah setingkat dengan kelengkapan infrastruktur seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber dan kedai runcit serta padang permainan bagi memberi keselesaan kepada penghuni di sini.

Ia dibangunkan bersama dengan projek penanaman cili yang diusahakan oleh 29 orang asnaf fakir dan miskin yang mendiami penempatan ini. Setiap keluarga diperuntukkan satu ekar tanah untuk mengusahakan tanaman tersebut dengan mendapat tunjuk ajar ilmu pertanian serta perladangan daripada Nestlé (Malaysia) Berhad melalui Kelab Cili Nestlé dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.

Untuk makluman, Kelab Cili Nestlé berperanan membantu asnaf fakir dan miskin di sini berkaitan kaedah pertanian terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman cili tanpa kos penanaman yang tinggi. Selaras dengan konsep Menjana Nilai Bersama Nestlé, penghasilan tuaian cili itu akan dibeli oleh Nestlé bagi tujuan pembuatan  MAGGI Sos Cili. Ia secara langsung dapat menjana pendapatan keluarga asnaf dengan pendapatan purata sebanyak RM1,200 sebulan.

Secara keseluruhannya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah melibatkan sumbangan zakat daripada pengeluar zakat di Selangor sebanyak RM8.3 juta.

kelantan 2

Selain itu, Zakat Selangor dan MAIK turut membangunkan pelan pembangunan insan dan pendidikan khusus untuk keluarga asnaf fakir dan miskin di sini dengan memberi penekanan kepada aspek agama, akademik dan sosial bagi melahirkan asnaf yang berwawasan dan mampu berdikari.

Bagi Mohd Osman Hamzah, 34 tahun, pemberian rumah ini merupakan satu rahmat kepada dirinya sekeluarga bagi membolehkan mereka hidup lebih selesa. Tambahnya lagi, selain itu penghuni di sini turut diberikan sekeping tanah untuk diusahakan penanaman cili.

“Sejak mengusakan tanaman cili di sini dua bulan lalu, sudah 10 kali saya menjual hasilnya dan mampu meraih pendapatan lumayan,” katanya yang ditemui selepas majlis.

Hadir sama dalam majlis ini, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra ibni DYMM Sultan Ismail Petra, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.